A Lady :).
About Affiliates Entry Facebook
Cerpen Pertama iaitu DAMBAAN LENSA CINTA
Friday, April 19, 2013 • 4/19/2013 12:07:00 AM • 0 comments
Dambaan Lensa Cinta 
Oleh Zulaikha Fozilan

Sinar datangnya dari lensa kamera Dslr Nikon D90 itu membuatkan aku terpegun sejenak. Aku cuba amati lama. Aku pasti! Kamera yang pernah dulunya aku miliki. Masih ada yang menggunakannya kini. Aku ingatkan kamera itu sudah ketinggalan dek arus perkembangan zaman. Rupa-rupanya tidak sama sekali.

Hemm… Aku memandang sekitar kawasan sambil menghayunkan buaian sederhana besar yang diperbuat daripada kayu jati. Eer, Kayu jati ke? Mungkin ya. Mungkin dusta. Mungkin hanya sekadar kayu biasa yang ada di mana-mana. Ha ha ha! Begitu riuh suasana di Taman I-CTY ini. Sebuah taman yang masih baharu di sebuah daerah yang masih membangun seperti Jerantut, tetapi telah dilengkapi sepenuhnya dengan permainan dan persekitaran seperti di I-City Shah Alam. Kagumnya aku kerana menjadi anak kelahiran daerah ini.

Aku mengeluh sendirian. Terpalit kembali kenangan lima tahun yang lalu, semasa aku masih bergelar jurukamera yang baru setahun jagung. Memori lalu itu menyentak kenangan manis dan duka yang pernah hadir seketika. Pastinya tidak akan aku lupa hingga terungkai segalanya.
“Cepatlah! Nak bersiap pun berkurun ke? Pengantin perempuan dah tunggu. Tadi nak sangat suruh make-up. Dari tadi tungguuu! Cepatlah!” jerit Dalisya menahan geram kepada angahnya.

“Pakai kain samping sekejap. Sabarlah. Masa-masa beginilah perut nak buat hal. Tadi elok je,” omel Rayyan sambil membetulkan kain sampingnya.

“Meh sini, Sya pakaikan. Nak tunggu angah pakai, alamat esok tak siap. Kejap? Dari tadi tunggu! Cair make-up Sya ni angah. Dah dekat pukul 12.30 tengah hari dah ni. Sekejap lagi majlis nak bermula!” bebel Dalisya sambil jari-jarinya pantas membetulkan kain samping milik angahnya.

Aku memerhatikan semuanya dari jauh, ke arah Rayyan dan seorang gadis berbaju kuning. Bising! Bingit! Ya, suara si gadis menyentak perbualan aku di telefon tadi. Barangkali mak andam, fikirku. Dia membebel kepada Rayyan yang kelihatan mengikut setiap patah perkataan yang keluar daripada bibir si gadis. Aku hanya menjadi pemerhati tegar. Tugasku belum bermula lagi. Aku mencapai kamera Dslr Nikon N90 sebagai persiapan. Kamera pertama yang aku peroleh, hadiah daripada ibu. Tapi belum sempat aku mulakan tugasku, sekeping gambar sempat aku tangkap. Telatah Rayyan dan si gadis membuatkan aku begitu tertarik. Kelakar dan mencuit hati kecilku.

Tugas? Ya, tugas pertama yang dipertanggungjawabkan kepada aku oleh Qalidha iaitu perancang majlis perkahwinan Rayyan dan Emanani sebagai salah seorang jurukamera yang bertugas, bersama-sama Mikail seorang jurukamera profesional. Aku cuma amatur yang masih mentah dalam dunia fotografi. Kerjaya ini hanya kerjaya sambilan aku sementara menunggu semester baru di Fakulti Undang-Undang di UiTM yang masih ada baki setahun lagi.

Tugasku bermula. Aku dan Mikail menjalankan tugas yang diamanahkan. Tapi dalam kekalutan menangkap gambar, suara si gadis sekali lagi menarik perhatian.

“Sya, nak bergambar juga. Tak kira! Dari tadi angah dengan kak Ann je. Biarlah Sya joint sekaki,” rengek Dalisya minta perhatian.

“Sabarlah Sya. Pergi kumpulkan keluarga kita dan yang lain-lain dulu. Nanti lepas ini bergambarlah puas-puas,” ujar Rayyan dengan tenang.

“Sya nak sekarang! Bukan sekejap lagi. Dari tadi angah dan kak Ann je. Jurukamera ni langsung tak nak tangkap gambar Sya.” Bentak Dalisya sambil menuding jari ke arah aku.

Aku baru tersedar. Rupa-rupanya dia gadis yang sama aku lihat di masjid tadi. Aku menangkap gambar tanpa banyak karenah. Ada saja aksi-aksi yang si gadis itu nak buat. Kalah pengantin pula gayanya. Sesi bergambar keluarga diteruskan. Aku lihat gadis yang dipanggil Sya tadi sibuk menyusun kedudukan di pelamin.

“Sana ... situ ... Ha, semua dah sedia? Pak cik kamera, kami dah siap ni! Cepatlah!” bicara Dalisya sambil mengangkat kening ke arahku.

Aku terpaku. Kelu. “Aku? Boleh dipanggilnya pak cik? Biar betul perempuan ni. Senget kot?” bicara Darwish dalam hati menahan gelak yang bakal meletus jika tidak dikawal.
Aku terus menangkap beberapa keping gambar. Setelah sesi bergambar pertama selesai, aku terus mencari Haikal.

“Siapa gadis yang tak habis-habis dari tadi bising tu? Mak andam ke weh? Dengan bawa alat make-up dalam plastik merahnya, macam mak andam kampung. Pergh! Terbaiklah. Ke ahli keluarga Rayyan atau keluarga Emanani ya? Tapi, paling aku tak tahan dia panggil aku pak cik. Punya kacak macam Brad Pitt pun tak perasan ke?” bertalu-talu Darwish bertanya kepada Haikal, kawan sekolahnya yang kebetulan sepupu kepada Rayyan.

“Sepupu akulah bro. Dalisya bawah kita dua atau tiga tahun je. Tak silap baru 21 tahun. Agak-agaklah nak mengata dia dengan beg plastik make-up dia tu. Kalau Sya tahu, masak kau Darwish.” Haikal siap kenyit mata lagi. Terus menuju ke arah gadis bernama Dalisya itu.

Sedang khusyuk merakamkan detik-detik manis di majlis perkahwinan Rayyan dan Emanani, tiba-tiba aku didatangi oleh gadis yang dikenali sebagai Dalisya.

“Haikal panggil...” mendatar suara Dalisya sambil terus berlalu pergi ke arah Haikal.

“Belum aku jawab sepatah, dia terus pergi? Biar betul perempuan ni. Tadi panggil aku pak cik, ni cakap Haikal panggil. Ni Haikal punya kerjalah ni,” omel Darwish di dalam hati sambil kaki menghayunkan langkah ke arah Haikal yang rancak berborak dengan Dalisya.

“Kenapa bro? Siap hantar posmen bagai nak panggil aku. Jerit jela. Gaya … aku ni jauh sangat,” bebel Darwish tanpa memandang Dalisya di depan Haikal.

“Alah, tadi kau juga sibuk-sibuk nak tahu fasal Sya,” ucap Haikal sambil memandang Dalisya minta perhatian.

“Siapa nak tahu fasal Sya? Mamat ni? Ergh … Tak hadaplah Sya nak kenal. Menyibuk je nak tahu fasal anak dara orang,” bicara Dalisya kurang berminat dan terus berlalu.

Aku tersentak. Gadis yang pada mulanya aku ingat mudah untuk aku dekati sebenarnya sukar. Baru nak kenal. Alih-alih kena reject terus olehnya. Malu. Yup! Malu sangat-sangat. Aku malas nak fikir. Buat serabut otak. Tugasku sudah selesai pada hari ini cuma tugas untuk mengedit gambar menanti. Sebulan setengah tempoh bagi menyiapkan gambar-gambar yang telah ditangkap.
* * *
Hampir sebulan berlalu. Sedang aku kusyuk mengedit gambar-gambar terakhir setelah pemilihan gambar oleh Rayyan dan Emanani sendiri, tiba-tiba gambar Dalisya bersama-sama Rayyan ketika mereka berceloteh memukau aku.

‘Cantik!’ bisik hati kecilku.

Lagak yang spontan membuatku tertarik untuk menangkap gambar ketika itu. Tanpa berfikir lanjut, aku terus mengedit. Yang pasti gambar ini akan aku hadiahkan kepada Dalisya nanti. Akan aku cuba memikatnya kerana aku sudah jatuh hati kepada Dalisya.

* * *
Gambar perkahwinan Rayyan dan Emanani sudah siap sepenuhnya. Mereka begitu berpuas hati dengan hasilnya. Tak habis-habis memuji. Tapi aku terkesan sesuatu di sebalik senyuman itu. Ketika Rayyan dan Emanani sibuk meneliti gambar mereka. Aku menyerahkan satu sampul surat bersaiz A4 kepada Rayyan. Isinya rahsia dan di depan sampul itu tertera nama Dalisya. Aku harap Rayyan mengerti.

“Apa ni?” tanya Rayyan minta kepastian.

“Untuk Dalisya daripada aku,” tutur ikhlas Darwish minta harapan.

“Kau tak tahu Darwish fasal Sya?” ucap Rayyan tergagap-gagap.

“Tahu apa? Ada yang aku ketinggalan ke?” tanya Darwish minta penjelasan.

“Kau ambil semula sampul ni. Simpanlah. Dalisya dah tak ada, Darwish. Aku ingat kau dah tahu.” Terketar-ketar suara Rayyan sambil menyerahkan kembali sampul surat itu ke tangan Darwish.

“Apa? Dah tak ada? Maksud kau? Kau jangan main-main Rayyan! Aku baru nak kenal Dalisya. Benda macam ni bukan boleh buat main. Dalisya tu … adik kau!” Darwish jadi berang tiba-tiba.

“Sabar Darwish. Aku bukan nak rahsiakan daripada kau pun. Aku ingat Haikal ada cerita. Aku tak tahu pun yang kau suka kat Sya. Aku minta maaf Darwish. Dan untuk pengetahuan kau, memang Sya dah tak ada. Dia meninggal. Meninggal kerana dibunuh!” tutur Rayyan sebak dan ditenangkan oleh Emanani isterinya.

“Ha! Mati kerana dibunuh? Ya Allah! Macam mana dia kena bunuh?” Tersekat-sekat suara Darwish kedengaran.

“Sya dibunuh dua minggu selepas majlis perkahwinan kami. Pembunuhnya masih belum ditemui. Yang paling menyedihkan, Sya menjadi mangsa rogol Darwish. Kes Sya masih dalam siasatan dan pantauan polis.” Hanya kata-kata itu yang mampu Emanani ucapkan dan terus berlalu meninggalkan Rayyan bersama-sama Darwish.

Rayyan menceritakan segala-galanya kepada aku. Baru aku mengerti. Dalisya gadis yang suatu ketika dulu ceria yang juga merupakan cinta pandang pertama aku, akhirnya meninggal dunia dengan cara yang paling kejam sekali. Dalisya dibunuh dan diperkosa! Perogol atau pembunuh itu langsung tidak dapat dikesan setakat ini. Aku telah berjanji akan cuba menyiasat kes pembunuhan Dalisya supaya keadilan dapat ditegakkan.

Aku tidak lagi memilih kerjaya dalam bidang fotografi sebagai kerjaya sambilan. Aku menumpukan sepenuhnya kepada Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang berbaki beberapa bulan lagi. Aku sudah berjanji kepada Rayyan, aku akan menuntut bela terhadap kematian Dalisya dengan ijazah yang bakal aku peroleh nanti.

* * *
Aku pejamkan mata. Masih ada sisa-sisa tangisan yang tak mungkin aku bendung keluar dari mata lelaki seperti aku, kerana Dalisya, salah satu pendorong aku untuk terus berjaya seperti sekarang.
Kini, aku menjadi salah seorang peguam terkenal yang disegani. Aku telah berjaya menyelesaikan beberapa kes besar. Tapi … kes Dalisya? Sehingga kini masih samar-samar dan tiada bukti kukuh.
“Encik Darwish?” sapa seorang gadis muda meragut kenangan lalunya pergi.

“Uh! Terperanjat saya. Awak ke yang telefon saya minggu lepas? Berkaitan kes Dalisya?” tanya Darwish minta kepastian.

“Ya. Saya Damia. Kawan baik Dalisya. Saya yang telefon Encik Darwish. Saya sudah bersedia untuk jadi saksi kes pembunuhan Dalisya,” ujar Damia tanpa berselindung.

“Saksi? Kes Dalisya? Yang hampir lima tahun terkubur lama tu? Macam mana awak nak jadi saksi? Kenapa saya perlu percaya dengan cakap awak? Dah lima tahun berlalu! Dan baru sekarang awak muncul?” marah Darwish tiba-tiba.

“Sebenarnya saya ada di tempat kejadian. Saya diugut! Saya trauma! Saya hanya mendiamkan diri. Tapi selepas kes kematian Dalisya, pembunuh tu cari saya. Mengancam nyawa saya! Dan akhirnya, saya hampir menjadi mangsa bunuhnya. Tapi Allah itu Maha Besar. Saya terselamat. Keluarga saya tak tahu kes saya berkaitan Dalisya ketika itu. Hampir tiga tahun saya hilang ingatan dan saya turut koma. Sekarang saya kembali, mahu menuntut bela ke atas kematian Dalisya.” Memang panjang lebar penerangan Damia.

Aku tergamam. Kes Dalisya kini sudah mempunyai saksi dan ada bukti kukuh untuk memulakan pendakwaan, atau dikenali sebagai prima facie. Akhirnya, kes yang tertangguh sejak sekian lama bakal berakhir tak lama lagi.

Huh! Aku akan pastikan si pembunuh mendapat balasan setimpalnya terhadap perbuatan yang dilakukannya.

Gambar Dalisya di dompet kutatap lama. Dalisya? Kau gadis pertama yang membuatkan aku tertarik tapi itu bukan satu pilihan tetapi sebuah kesempatan, kesempatan untuk aku menjadi lelaki yang lebih sempurna dan berguna untuk masa-masa mendatang. Aku akan pastikan selepas ini rohmu tenang di sana. Aku akan pastikan kes ini berjaya dan kau gadis yang menjadikan aku kuat seperti sekarang. Pengorbanan yang aku lakukan hanya untukmu Dalisya.
Entah kenapa, terasa pipi lelaki ini tiba-tiba basah!



PASTFUTURE
Hello;
Hi *wave hand*. Namely Zulaikha Fozilan. A girl. A woman. A daughter. A wife to-be. A teacher to-be.
Music peak
Shout !
Memory
Sejarah mungkin berulang~~ cewah jiwang karat aku-.-
  • keluarga baru
  • lama tak update!
  • pengumuman cuti berakhir!
  • sebuah cerita di Hari Raya 2012
  • cuti vs kerja
  • Percutian buat kali kedua ke Medan , Indonesia ber...
  • selamat bercuti cik ZULAIKHA FOZILAN
  • kenangan Tarikh 4 jun 2012
  • CUTI study week BERMULA lagi
  • Pementasan MTSR ke-27 'Hikayat Selangor'

  • Big Clap!
    Template :Masterly_elmo
    Tutorial : Afiqah Wana Atiqah
    Pictures : We Heart It
    Best View : Google Chrome